Penyelidik UMT Kaji Ombak Hasilkan Tenaga Elektrik

KUALA LUMPUR – Seorang penyelidik daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merangkul pingat emas dalam Pameran Pencipta 2013 melalui kajian bertajuk Tenaga Ombak Menghasilkan Kuasa Elektrik.
Penyelidik terbabit, Prof. Madya Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, kajian tersebut melibatkan penyelidikan ke atas ombak sebagai sumber terbaharu untuk menghasilkan tenaga elektrik di negara ini.
“Meskipun ombak di Malaysia yang berketinggian antara satu hingga dua meter pada waktu-waktu biasa, tetapi ombak dengan ketinggian tersebut dapat menghasilkan tenaga untuk kegunaan pelbagai bidang.
“Antara perancangannya adalah untuk menjadi hub kepada penghasilan tenaga untuk bot-bot nelayan menangkap ikan di persisiran pantai yang pada waktu ini menggunakan minyak diesel,” katanya melalui satu kenyataan media yang disiarkan oleh UMT.
Mohd. Zamri, jika penyelidikan itu dapat direalisasikan, maka bot yang menggunakan tenaga ombak akan menjadi alternatif kepada bot yang menggunakan minyak diesel selama ini.
Sementara itu, UMT memaklumkan universiti tersebut turut memenangi tiga lagi pingat emas, enam pingat perak dan empat pingat gangsa pada Pameran Pencipta 2013 yang diadakan di sini selama tiga hari bermula 7 November lalu.
UMT dalam satu kenyataan media berkata, pencapaian itu merupakan satu peningkatan berbanding pencapaian yang dicatatkan oleh universiti itu dalam acara berkenaan dua tahun lalu
“Pameran kali ini telah disertai oleh 15 orang penyelidik UMT daripada pelbagai bidang kajian,” kata kenyataan itu.
0 komentar:
Posting Komentar